Sunday, 7 December 2014

KESIMPULAN

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera.

Dalam Islam kebersihan itu merupakan sebahagian daripada iman. Islam amat menitikberatkan kebersihan dalam kehidupan seharian. Kebersihan akan dapat memberikan suasana yang selesa untuk belajar, bekerja dan berehat. Ia amat penting kerana ia meruapakan salah satu faktor yang dapat memberi ketenangan minda kepada semua pihak. Semua agama dan penduduk di Malaysia bahkan di dunia suka kepada kebersihan.

Berdasarkan isu yang telah kami bangkitkan di UITM Puncak Alam, iaitu isu sampah yang berselerak dan bersepah yang disebabkan oleh kekurangan bilangan tong sampah dan juga sikap pelajar yang tidak mementingkan kebersihan, setiap pihak termasuklah terutamanya para pelajar, staff dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung hendaklah memainkan peranan masing-masing untuk mnjaga kebersihan kerana dapat kita lihat dalam skop yang kecil, iaitu sebagai pelajar, kebersihan dapat memberikan keselesaan untuk belajar dan memberikan keselesaan kepada para pensyarah untuk mengajar. Ia juga dapat memberikan pandangan yang positif kepada para pelawat yang datang. Oleh itu, semua pihak hendaklah mengamalkan konsep wasatiyah dan ta’awun dalam kehidupan seharian agar dapat memberikan manfaat yang baik terhadap semua pihak.

Pemikiran setiap pihak seharusnya bertumpu kepada pentingnya menjaga kebersihan, janganlah sama sekali kita memandang enteng terhadap isu sampah dalam menjaga kebersihan persekitaran sekeliling kita, seperti yang kita tahu, setiap manusia mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam menjaga kebersihan persekitaran kita.

Secara keseluruhnya, kami telah pun mengenalpasti langkah yang terbaik dalam mengurangkan masalah sampah di UITM Puncak Alam, di antaranya adalah mengaplikasikan “Amalan 5 Minit Membersihkan Kelas”. Melalui langkah ini, kebersihan di kawasan universiti juga berada di tahap yang terbaik sekaligus telah mencerminkan nilai murni dan budaya yang positif terhadap pelajar-pelajar UITM.

Justeru itu, sebagai seorang rakyat Malaysia yang hidup secara berpaduan tanpa mengambil kira bangsa dan agama, kita seharusnya saling bekerjasama dalam menjaga kebersihan persekitaran sekeliling kita. Hal ini kerana, melalui persekitaran yang bersih akan memberi impak kepada kesihatan tubuh badan dan secara tindak langsung rakyat di Malaysia akan hidup dalam keadaan aman dan damai tanpa berlaku sebarang malang petaka yang menimpa.

Wasalam.

Wednesday, 3 December 2014

LANGKAH MENGATASI MASALAH SAMPAH

 Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera.









Gambar-gambar ini menunjukkan beberapa respon daripada sesetengah pelajar berkenaan “Amalan 5 minit Bersihkan Kelas”. Walaupun tidak mendapat respon daripada kelas-kelas yang lain, namun usaha yang kecil ini mampu memberikan impak yang besar kepada sesebuah organisasi atau fakulti itu sendiri. Seperti yang dapat dibaca, yang memberi respon setuju dengan menunjukkan, bahawa tanggungjawab itu bermula dari diri sendiri.


Sebenarnya jika usaha kecil  ini dilakukan, tidak mustahil untuk setiap pelajar melakukan amalan yang sama dalam jangka masa tertentu, lantas menjadikan usaha ini suatu kebiasaan dalam hidup pelajar itu sendiri.  Selain itu juga dapat dirumuskan, bahawa “Amalan 5 minit Bersihkan Kelas” ini wajar diterapkan kepada setiap pelajar. Ini kerana, banyak manfaat yang diperolehi melalui amalan ini seperti kebersihan semasa belajar terjamin, tidak timbul buruk sangka antara sesetengah pihak dan dalam masa yang sama mampu mampu mendidik pelajar menjadi sesorang yang berdisiplin.

Wasalam.

Tuesday, 2 December 2014

PANDANGAN UMUM MENGENAI ISU KEBERSIHAN

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera.




Audio ini merekodkan pandangan sesetengah pihak mengenai kesan yang kemungkinan berlaku sekiranya pelajar mengabaikan kebersihan terutamanya didalam kelas. Secara keseluruhan, kesan yang dapat dilihat adalah, pelajar akan terbiasa dengan gaya hidup sekarang. Mereka akan melihat perbuatan mereka ini suatu kebiasaan dan tidak berasa bersalah atau malu dengan sikap mereka. Selain itu, dapat dilihat juga kesan daripada orang luar, dimana akan timbul persepsi negatif daripada mereka terhadap pelajar melayu, misalnya pensyarah atau petugas kebersihan yang ada terdiri daripada bukan melayu, pelajar yang terlibat dengan pertukaran universiti, dan orang melayu itu sendiri. Persepsi ini akan menyebabkan timbul salah faham dan dalam masa yang sama menjejaskan imej orang islam yang merupakan majoriti penganut di UiTM ini.

Memandangkan isu yang timbul seperti tidak cukup tong sampah dan jarak tong sampah yang terlalu jauh, kami mengambil langkah dengan mengadakan “Amalan 5minit Membersihkan Kelas”. Di dalam audio ini, kami juga mengambil beberapa pendapat adakah “Amalan 5minit Membersihkan Kelas” relevan untuk diterapkan oleh pelajar. Respon yang kami terima adalah:

“Amalan ini elok dilakukan sebelum dan selepas sesi pembelajaran. Di mana pelajar dapat suasana yang selesa semasa sesi pembelajaran, dan dapat membersihkan kelas untuk kegunaan pelajar yang seterusnya”.

Selain daripada “Amalan 5minit Membersihkan Kelas”, mereka juga turut menyarankan beberapa inisiatif seperti mengadakan kempen, aktiviti daripada pensyarah(seperti mengadakan gotong-royong kecil-kecilan) dan lain-lain .

Wasalam.

Saturday, 29 November 2014

KESAN PEMBUANGAN SAMPAH MERATA-RATA DI KAWASAN UITM PUNCAK ALAM

Assalamualaikum W.B.T dan Salam sejahtera.

Kebelakangan ini, sisa sesuatu bahan atau lebih dikenali sebagai sampah dapat dilihat di sekitar UITM Puncak Alam ini. Seperti yang telah dinyatakan, pelbagai isu yang timbul mengenai punca sampah ini dibuang merata-rata.  Hal ini perlu dibendung segera bagi membuang impak negatif yang secara tidak langsung boleh mencemarkan nama universiti. Semua warga sedia maklum bahawa kesedaran mengenai penjagaan kebersihan khususnya berkaitan sampah ini berada pada tahap yang amat rendah dalam kalangan manusia termasuklah mahasiswa. Justeru, kami terpanggil untuk melakukan sesuatu bagi mengingatkan kembali kepada mereka tentang kepentingan menjaga kebersihan khususnya dalam konteks pembuangan sampah. Hal ini demikian kerana pelbagai impak negatif telah kami temui kesan pembuangan sampah merata-rata di sekitar kawasan kampus antaranya adalah:

Ø Wujudnya persekitaran pembelajaran yang tidak selesa dan terganggu ketika di dalam kelas.
Hal ini berlaku apabila sampah seperti plastik gula-gula, makanan dan botol minuman dibiarkan berteraburan di dalam kelas tanpa ada rasa tanggungjawab dalam diri sesiapa untuk mengutip dan membuangnya. Sesetengah pensyarah akan merasa terganggu dengan kewujudan sisa buangan ini. Hal ini secara tidak langsung, boleh menyebabkan wujudnya proses pembelajaran dalam keadaan yang tidak selesa. Sebagai contoh, pensyarah mungkin ingin segera menghabiskan topik yang diajarnya kerana tidak selesa berada di dalam kelas tersebut dalam jangka masa yang lama. Keadaan yang sama juga boleh berlaku kepada pelajar apabila mereka tidak dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya kerana terganggu dengan keadaan kelas yang kotor.  

Ø Hubungan di antara pensyarah dan pelajar di dalam kelas  menjadi renggang.
Apabila pensyarah masuk ke kelas dan melihat keadaan kelas yang tidak teratur dan kotor, emosi yang ketika tadinya ceria akan menjadi suram dan marah. Pensyarah yang mengajar dalam keadaan marah akan menyebabkan sesi soal jawab di antara pelajar dan pensyarah terganggu. Tidak mustahil juga, mereka akan mengajar dalam keadaan segera di mana proses pembelajaran hanya berlaku untuk memenuhi jam masa kredit. Hal ini secara tidak langsung turut mempengaruhi kefahaman pelajar terhadap sesuatu matapelajaran.

Ø Persepsi atau pandangan yang negatif akan dilemparkan kepada mahasiswa dan universiti.
Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Salah satu peribahasa yang dapat menggambarkan kesan buruk yang perlu diterima oleh orang lain yang berpunca daripada kesalahan seorang. Sebagai contoh, pensyarah akan mempunyai tanggapan yang buruk iaitu mahasiswa tidak pandai menjaga kebersihan. Begitu juga dengan orang luar yang datang ke kampus ini, apabila mereka melihat sampah seperti botol minuman, plastik makanan di tepi jalan pastinya wujud satu persepsi awal dan negatif terhadap mahasiswa dan pengurusan di kampus ini.

Ø Menyukarkan kerja yang dilakukan oleh pihak pembersihan di kampus.
Apabila sampah dibuang di tepi-tepi jalan, pihak pembersihan terpaksa mengambil sampah tersebut dan membuangnya kembali ke dalam tong sampah. Lebih menyukarkan lagi, apabila sampah itu telah lama dibiarkan dan hampir ditutupi oleh tanah, pihak pembersihan perlu menggunakan lebih masa dan tenaga untuk membuang sampah tersebut. Tidak salah kita sebagai mahasiswa meringankan beban mereka dengan tidak membuang sampah merata-rata walaupun mereka dibayar gaji.

Ø Hilang rasa belas kasihan terhadap golongan yang lebih berusia dalam diri mahasiswa.
Seperti yang kita sedia maklum, ramai pekerja pembersihan yang dapat dilihat di sekitar kawasan kampus dan kebanyakan mereka adalah berumur 40 dan ke atas.  Selaras dengan panggilan yang selalu kita gelar kepada mereka iaitu ‘makcik cleaner’, wajarkah kita sebagai golongan yang lebih muda membiarkan mereka yang lebih berusia mengutip sampah yang telah dibuang oleh kita? Tiadakah rasa kasihan terhadap  mereka wujud dalam diri kita sebagai seorang anak dan mahasiswa? Mahasiswa sering kelihatan membiarkan ‘makcik-makcik’ ini mengutip sampah yang dibuang oleh mereka sendiri tanpa perasaan belas kasihan. 

Konklusinya, banyak impak negatif yang boleh dilihat dengan mata kasar kesan daripada sikap pelajar itu sendiri. Tabiat membuang sampah merata-rata ini perlu dibendung dan dibuang dalam diri mahasiswa. Islam amat megambil berat terhadap pentingnya menjaga kebersihan. Masih tidak berguna seseorang itu jika hanya menjaga kebersihan diri tetapi buruk akhlaknya dalam menjaga kebersihan alam sekitar. Begitu juga dengan perasaan belas kasihan dan tolong-menolong yang amat digalakkan dalam Islam. Selaras dengan konsep wasatiyah, kita perlu untuk saling membantu lebih-lebih lagi kepada golongan yang lebih berusia dan memerlukan. Walaupun tanggungjawab mereka untuk membersihkan sesebuah kawasan namun, Islam tidak pernah melarang kita untuk meringankan beban mereka malah kita bakal mendapat ganjaran hasil kebaikan yang disalurkan. 




Wasalam.



Saturday, 22 November 2014

ISU - ISU SAMPAH DI UITM PUNCAK ALAM

Assalamualaikum W.B.T dan Salam sejahtera.



Kebersihan merupakan perkara asas dalam kehidupan seharian setiap manusia tanpa mengira bangsa dan agama. Kebersihan yang mencakupi kebersihan diri, alam sekitar, tempat tinggal dan ruang bekerja contohnya, memainkan peranan penting dalam pembentukan akhlak, peribadi, daya pemikiran dan prestasi kerja seseorang individu. Dunia semakin terarah kepada modenisasi dan pembangunan yang pesat namun kesedaran sivik dan mentaliti penghuni Bumi semakin hari semakin membimbangkan dengan isu kebersihan yang seakan dipandang enteng.

            Skop kata kebersihan itu sendiri meluas, boleh jadi ia dari sudut pengurusan diri, kekemasan tempat kerja dan sebagainya namun yang ingin dibincangkan di sini adalah mengenai pembuangan sampah di merata tempat dalam kalangan para pelajar khususnya dan masyakarat umum amnya. Kami melihat isu berkaitan sampah sarap ini sebagai sesuatu yang perlu ditangani. Justeru, berikut kami senaraikan beberapa permasalahn yang berlaku di kampus pengajian kami sendiri iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam.

            Isu pertama yang dapat kami lihat adalah mengenai pembuangan sampah seperti plastik gula-gula, botol air, kertas, bekas makan dan tisu yang dibuang atau ditinggalkan di merata tempat di sekitar fakulti kami khususnya dan sekitar kampus amnya. Persoalanannya, apakah faktor pendorong kepada berlakunya permasalahan yang dilihat semakin meruncing saban hari ini?

            Kami melihat ianya sebagai kurang sifat bertanggungjawab dalam diri setiap pelajar walaupun dari bangku sekolah lagi sudah diterapkan nilai-nilai kebersihan ini namun ianya seakan tidak lagi dipraktikkan apabila seseorang itu meningkat dewasa. Lambakan sampah di dalam kelas, di kaki lima dan di dalam tandas dilihat sebgai sesuatu yang mampu menjejaskan nama baik sesebuah institusi itu. Diharapkan ketamadunan manusia dari segi pengurusan sampah dan kebersihan dapat dibentuk dan membangun seiring dengan kepesatan era modenisasi yang acapkali dipuja.

            Seterusnya kami berpendapat bahawa isu penyediaan tong sampah yang tidak mencukupi sebagai sesuatu yang perlu dipandang serius. Pihak pengurusan diharapkan dapat lebih peka dengan perkara ini agar memudahkan para pelajar umtuk membuang bahan buangan di tempat yang betul agar dapat mengelakkan berlakunya pembuangan sampah di merata tempat. Ingin kami bangkitkan isu ini agar ianya dapat membuka mata pihak pengurusan agar menyediakan lebih banyak tong sampah dalam usaha untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan ceria.

            Perlu diingat bahawa masyarakat kita belum terdidik atau lebih enak untuk kami katakana, belum mempunyai kesedaran dan rasa tanggungjawab untuk menyimpan bahan buangan sendiri di dalam kocek ataupun beg dan membuangnya ke dalam tong sampah yang disediakan kemudiannya. Oleh sebab itu, kami merasakan faktor ini sebagai sesuatu yang tidak boleh diambil ringan dalam usaha menangani isu sampah yang berlaku.

            Selain itu, ingin kami tegaskan bahawa mentaliti setiap pelajar mengenai isu pembuangan sampah sebagai sesuatu perkara penting yang perlu diperbaiki dan diubah secara menyeluruh agar aspirasi “Sifar Sampah” dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sejajar dengan konsep itu, kami merasakan bahawa wujudnya keperluan untuk kita sama-sama mendidik diri untuk  tidak menaruh sepenuh kebergantungan kepada tukang cuci untuk menyapu atau mengutip sampah yang kita buang di merata tempat.

            Jika perkara ini berterusan, maka ia secara tidak langsung akan memberi impak negatif kepada usaha kea rah melahirkan atau membentuk modal insan kelas pertama. Label masyarakat minda kelas pertama seharusnya ditelusi daripada perkara yang paling asas, yakni dalam konteks diskusi kami ini, kebersihan. Justeru kami bangkitkan juga isu ini sebagai permasalahan yang perlu ditangani dalam kadar segera agar longgokan sampah dapat dikurangkan hari demi hari.

            Ringkasnya, dapat kami simpulkan bahawa isu berkaitan sampah ini sebagai sesuatu yang perlu dibendung dan dikawal demi keselesaan bersama. Bahan buangan kita, tanggungjawab kita. Hindarkan diri daripada bersikap tidak endah mengenai isu pembuangan sampah di tempat yang disediakan. Alah bisa, tegal biasa. Kita mampu mengubahnya ke arah yang lebih baik jika wujud kesedaran dalam diri masing-masing.  InsyaAllah.


Plastik makanan dibiarkan bersepah di bawah meja.

Keadaan  meja dan kerusi yang kurang tersusun.

Keadaan kerusi di dalam kelas yang tidak tersusun.



Wasalam.

Saturday, 15 November 2014

PENGENALAN : AMALAN KEBERSIHAN MEMUPUK PERPADUAN


Assalamualaikum W.B.T dan Salam sejahtera.

Malaysia mempunyai lebih daripada 70 etnik dan sekiranya ditambah dengan kelompok yang mewakili sub etnik, jumlahnya melebihi 200 kumpulan. Dengan kepelbagaian etnik di Malaysia, maka sedikit perbalahan boleh menyebabkan perpaduan etnik di Malaysia berpecah dan memberikan implikasi yang negatif terhadap penduduk di Malaysia. Maka, perpaduan etnik di Malaysia hendaklah dijaga dengan mengamalkan nilai-nilai murni yang akan dapat mengukuhkan perpaduan kaum di Malaysia.

            Dalam Islam, perkara mengenai perbezaan etnik tidak menjadi halangan untuk manusia berbaik, saling bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain. Penghormatan terhadap agama lain telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan ia merupakan ajaran yang penting dalam Islam agar keharmonian dalam kepelbagaian etnik dapat dicapai. Kepelbagaian etnik dalam Islam dilihat sebagai sesuatu yang positif kerana masyarakat akan dapat saling kenal-mengenali antara satu sama lain dan membawa kepada persefahaman antara kaum. Perkongsian ilmu, teknologi, kemahiran dan pengalaman merupakan contoh perkongsian yang positif yang dapat dicapai sekiranya keharmonian hubungan etnik dijaga dengan baik.

            Terdapat enam asas kepada hubungan etnik menurut Islam iaitu; Al-Taaruf (berkenal-kenalan), Al-Tafahum (persefahaman), Al-Ta’awun (bantu-membantu), Al-Tadhamun (jamin-menjamin), Al-Ukhuwah (persaudaraan) dan Al-Mahabbah (kasih sayang). Yang ingin diperjelaskan pada hari ini adalah Al-Ta’awun, iaitu saling bantu-membantu. Dalam hidup bermasyarakat, sifat bantu membantu hendaklah ke arah kebaikan, bukan kejahatan demi mencapai kepentingan dalam konteks masyarakat plural disamping menolak segala keburukan agar tidak terjadi dalam masyarakat. Sifat bantu membantu dapat mengelakkan timbulnya masalah dalam masyarakat dan memudahkan segala urusan. Ia boleh dilakukan melalui bantuan kewangan, masa dan tenaga yang natijahnya akan mengeratkan lagi hubungan dalam masyarakat.

Selain itu, konsep wasatiyah merupakan suatu konsep yang mementingkan pertengahan, kesederhanaan, iaitu pertengahan yang memerlukan hak yang sepatutnya antara dua sikap yang ekstrem (melampau) dan yang jumud. Menurut Al-Qardawi, wasatiyah merupakan sesuatu yang memerlukan hak yang sepatutnya. Hal ini dapat dicapai dengan memberikan hak yang sepatutnya melalui jalan tengah agar tidak melampaui batas-batas syariat islam. Menurut kamus dewan, wasatiyah bermaksud kesederhanaan. Dapat disimpulkan disini bahawa wasatiyah merupakan kesederhanaan, kerjasama, toleransi, tidak ekstrem dan bersederhana dalam perlbagai perlakuan dan hendaklah tidak mengabaikan prinsip-prinsip Islam.

Kebersihan merupakan separuh daripada iman. Faktor kebersihan boleh menjadi faktor yang memecahbelahkan perpaduan kaum di Malaysia. Keadaan persekitaran yang kotor sehingga menyebabkan bau busuk dan menarik perhatian haiwan liar akan mendatangkan masalah kesihatan kepada masyarakat. Masalah sampah dibuang merata-rata akan membawa kepada peningkatan kes aedes kerana nyamuk aedes dapat membiak apabila air bertakung di sampah-sampah tersebut. Selain itu, sampah yang bersepah juga akan menarik perhatian haiwan liar termasuk ular dan tikus yang akan menyebabkan masakah kesihatan dan juga keselamatan penduduk. Oleh itu, konsep wasatiyah dan ta’awun amat penting agar setiap pihak yang terlibat dalam masyarakat akan saling bantu-membantu dalam menyelesaikan masalah berkaitan dengan kebersihan kerana hal ini bukan hanya memberi manfaat kepada satu pihak semata-mata.

Begitu juga dengan situasi di dalam kampus. Kebersihan memainkan peranan yang amat penting agar pelajar dapat belajar dengan selesa dan para pensyarah dapat mengajar dengan selesa. Ini kerana, jika tahap kebersihan teruk maka suasana pembelajaran yang tidak selesa akan menggangu pelajar dan pensyarah. Bayangkan jika anda pergi ke kelas yang penuh dengan sampah dan kotor. Anda semestinya tidak akan selesa untuk belajar terutama sekali jika ia merupakan sampah basah, yang akan mendatangkan bau yang tidak menyenangkan. Ia akan menjejeaskan tumpuan anda apabila belajar. Hal ini juga boleh merenggangkan hubungan pelajar dan pensyarah kerana pensyarah akan menegur pelajar supaya membersihkan kelas. Oleh itu, para pelajar hendaklah mengaplikasikan konsep ta’awun dan wasatiyah untuk membersihkan kelas terutama sekali adalah dengan tidak membuang sampah di dalam kelas.

Wasalam.

Monday, 10 November 2014

PEMILIHAN TAJUK - ISU: MASALAH SAMPAH DI FAKULTI PERAKAUNAN

Assalamualaikum dan salam satu ummah. Merujuk kepada kajian lapangan yang harus kami siapkan untuk subjek CTU Hubungan Etnik, kami telah bersepakat satu kumpulan untuk memilih tajuk ISU : MASALAH SAMPAH DI UITM PUNCAK ALAM . 

Pada mulanya, kami dikehendaki untuk membuat kajian di luar kawasan UITM iaitu di kawasan perumahan ataupun penempatan masyarakat yang pelbagai etnik. Tetapi disebabkan kekurangan masa dan sebab-sebab tertentu, kami telah diberikan kelonggaran daripada Ustazah kami untuk membuat kajian di dalam kawasan UITM sahaja. Kami dikehendaki untuk mencari sebarang isu yang terdapat di dalam UITM dan menyelesaikan masalah itu dengan memberi kebaikan kepada staff-staff dan pelajar-pelajar. 

Oleh hal yang sedemikian, kami telah mendapati isu sampah di UITM Puncak Alam semakin meningkat disebabkan oleh beberapa faktor. Memandangkan kami merupakan pelajar jurusan Perakaunan, kami hanya mengfokuskan kepada isu sampah di Fakulti Perakaunan.

Sesi perbincangan yang pertama

Sesi perbincangan yang kedua.

Wasalam.

Wednesday, 8 October 2014

PENGENALAN - PROJEK CTU 553



Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca.

Alhamdulillah, syukur kepada Tuhan kerana akhirnya wujud juga sebuah blog kami yang tidak seberapa ini.
Blog ini diwujudkan adalah disebabkan untuk menceritakan sedikit sebanyak mengenai projek CTU 553 kami yang merupakan tugasan yang perlu kami siapkan.

Petikan di bawah adalah diambil daripada petikan Ustazah Mahfuzah bt Mohammed Zabidi.

TEMA : "KHIDMATKU BUAT UMAT RASULULLAH S.A.W"

Setiap insan diciptakan dengan dua tujuan utama iaitu sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya. Dalam konteks melunaskan tanggungjawab sebagai khalifah Allah, manusia ditugaskan untuk menyebarkan kebaikan. Setiap manusia perlu mengenal pasti kekuatan diri dan berusaha untuk memberi manfaat kepada orang lain sama ada dalam urusan dunia, mahupun akhirat. Peranan manusia adalah sebagai khalifah perlu didasari dengan peranannya sebagai hamba Allah S.W.T. Manusia wajib mentadbir dan mengurus alam mengikut cara gaya yang dikehendaki oleh Allah S.W.T selaku Pemilik Mutlak seluruh kewujudan makhluk.

Seorang khalifah Allah harus menyedari bahawa setiap manusia terikat dengan Perjanjian Asalinya dengan Allah S.W.T dan unit asas bagi setiap manusia adalah roh. Justeru, dalam menunaikan kebaikan untuk semua, seorang khalifah harus terlebih dahulu berusaha membersihkan rohnya dengan kaedah yang diajar oleh Rasulullah S.A.W dan memahami bahawa setiap roh manusia mempunyai fitrah yang baik. Fitrah asal roh manusia adalah mengenali dan mencintai Tuhan.

Berdasarkan apa yang telah ustazah kami terangkan, kami ditugaskan untuk melakukan kajian ke atas satu komuniti manusia di Malaysia. Komuniti tersebut perlu memiliki ciri-ciri berikut:
  1. Terdiri dari pelbagai bangsa dan agama
  2. Mempunyai golongan kanak-kanak, belia dan tua